N-Day Theme: “Negaraku Brunei Darussalam”

12 02 2010

A poem in Malay (literally: My Nation Brunei Darussalam)
Negaraku Brunei Darussalam

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Di mana tumpah darahku, di situ tanah airku
Ke mana hala tuju anak bangsa negaraku?
Ke mana arah rentak Amirul Mukmininku?

Darahku bergelora, benakku berkecamuk
Apa erti makna mendalam hidup bernegara?
“Baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur”…
Adakah dihayati setulus hati kalimah Ilahi?

Para ulama ahli fikir agama berharta kurnia Ilahi
Makin kaya raya semakin bertambah nikmat-Nya
Rakyat jelata Muslim semakin hari tambah derita
Jeritan batin meronta-ronta kehilangan redha-Nya

Apakah lagi kehebatan ujian Ilahi yang Maha Kuasa?
Fakir miskin dhaif Al-Gharimin naik meningkat jumlahnya
Dimaki hamun, dimalukan asbab hutang piutang keperitan
Baitul Mal Zakat dipertanggungjawabkan basmi kemiskinan

Keadilan wajib ditegakkan tidak perlu dipertikaikan hak
Hamba Allah tidak lari dari berhutang malahan zaman nabi
Makanya dua perpuluhan lima daripada zakat harta wajib
Dikeluarkan oleh hartawan jutawan dikalangan Ummah

Jangan rendahkan mertabat Ummah yang kurang agama
Serulah mereka ke jalan yang benar, balik ke pangkal
Berkorbanlah Jihad Fisabillillah, keluar di jalan Allah
Jangan hanya amal ibadah dalam keselesaan hawa

Hawa nafsu rakus serakah naluri manusia biasa
Pilihan Allah majulah terus berjuang demi agama
Apa takut pada makhluk? Allah Taala Maha Kuasa!
Perangilah korupsi, eksploitasi, manipulasi duniawi

Kejayaan dunia dan akhirat terletak pada agama sempurna
Melayu Islam Beraja pegangan falsafah negara yang waja
Kesederhanaan dituntut dalam agama, amal ibadat dijaga
Kesungguhan istiqamah diamalkan dalam solat tiang agama

Generasi muda pewaris negara dilamun badai arus Global
Gelombang tsunami pengaruh negatif bukan Islami total
Rata-rata meruntuhkan akhlak moral para remaja negara
Anak-anakku, putera-puterimu, anak buah kita terpedaya

Akhlak Junjungan Besar adalah Al-Quran, dan tinggalan Rasul
Hanyalah Kitab Suci dan Sunnah Nabi, bukannya harta karun
Dimanakah Hikmah-Nya yang sebenar harus dicarigali rapi?
Ilmu Allah terbentang luas landasan amar maaruf nahi mungkar

Negaraku Brunei Darussalam yang aman makmur, indah permai
Nun jauh di hadapan dalam alam ghaib, syurga abadi menanti
Nikmatilah kurnia Ilahi, seolah-olah usia hidup tua dengan diri
Hayatilah suruhan dan larangan Ilahi, seolah-olah mati hari ini.

Keris Warisan

“Selamat Menyambut Ulangtahun Hari Kebangsaan yang ke-26 pada 23 Februari 2010”

PLK


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: